Thursday, 28 November 2013

SOCRATES



1.0       Maksud falsafah

Pada asalnya, perkataan falsafah ini berasal daripada istilah Yunani, iaitu Philo (cinta) dan Sophos (hikmat, kebijaksanaan). Perkataan ‘cinta’ melibatkan kesungguhan, kedalaman perasaan, sentuhan hati, jiwa dan raga sekaligus memberi tindakbalas yang tekad terhadap objek yang dicintai, manakala perkataan ‘hikmah’ pula mengandungi pengertian yang berhubung dengan pengetahuan, pengalaman hidup dan keupayaan membezakan nilai. Hikmah dari pengertian yang disebutkan tadi berhadapan dengan persoalan yang tidak berkesudahan. Bersumberkan pandangan ahli-ahli sejarah menyatakan bahawa Pythagoras yang berasal daripada Yunani ataupun lebih dikenali sebagai Greece masa kini adalah orang yang pertama sekali mengasaskan dan menggunakan istilah falsafah. Ini dapat dilihat melalui perkataan beliau yang menyebut,
            “Aku bukan hakim (sang hikmah) tetapi aku hanyalah pencinta hikmah”.( http://id.wikipeda.org/wiki/Socrates)

             Tetapi ada juga yang menyatakan bahawa Socrates adalah orang yang mula-mula menggunakan perkataan falsafah. Beliau mengkelaskan dirinya sebagai philosophos yang berbeza daripada golongan Sophist (Sophisme/ Sufasta’iy yin) yang diasaskan oleh Pythagoras dan menisbahkan kepada mereka dengan gelaran hukama’. Maka Socrates berkata :
            “Aku bukan sufist (hakim) tetapi hanyalah filusufus iaitu pencinta kepada hikmah”.( http://id.wikipedia.org/wiki/Socrates)

            Falsafah utama Sophisme beranggapan bahawa segala sesuatu itu berubah-ubah dan tidak tetap, maka kebenaran hakiki tidak tercapai dan tidak akan tercapai. Oleh itu, Socrates mendefinisikan falsafah sebagai satu ilmu untuk mencari sebab dan kebenaran kepada punca sesuatu dalam kehidupan praktikal. Tambahan, falsafah itu adalah usaha untuk memperbaiki manusia melalui prinsip moral daripada kebersihan fikiran menjadikan dua elemen ini iaitu pembaikan moral dan kebersihan fikiran tidak dapat dipisahkan. Ini kerana dengan timbulnya kebersihan fikiran maka secara tidak langsung akan terbentuknya kebaikan manusia.

            Menurut pengertian falsafah secara secara masyhurnya ialah berfikir. Erti kata berfikir secara falsafah itu haruslah mempunyai 3 ciri-ciri iaitu; pertama, berfikir secara radikal yang membawa maksud berfikir secara mendalam hingga ke akar umbi atau asal-usulnya dan hakikatnya. Kedua, berfikir secara universal atau menyeluruh berdasarkan pengalaman manusia yang umum dan tidak terbatas dengan ilmu sahaja. Ketiga, berfikir secara integral, iaitu berpadu secara lengkap dengan mana-mana yang ada.
            Dari segi sejarah pula, pada awalnya falsafah merupakan induk segala ilmu pengetahuan. Daripada falsafah tersebut lahirlah cabang-cabang ilmu contohnya seperti matematik, sains dan lain-lain. Sebaliknya berlaku apabila kemajuan ilmu berkembang menjadikan falsafah sebagai cabang ilmu. Namun fungsi asal falsafah tidak berubah sebagai penyelesai sesuatu masalah yang tidak dapat dijawab oleh keterbatasan bidang ilmu.
Ahli-ahli pimikir pada zaman klasik Greek yang mengkaji asas-asas persoalan mengenai bumi dan kewujudan manusia menggelarkan diri mereka sebagai philosophi, “pencinta hikmah”. Mereka gemar berfikir tentang bagaimana sesuatu kejadian atau kewujudan sesuatu perkara yang ada di sekeliling dan alam semester, tujuan hidup, dan mempersoalkan maksud daripada “kebaikan” dan “keburukan”. Dalam mencari sesuatu hikmah, mereka tidak berpandukan sumber agama mahupun budaya tradisi untuk mecari jawapan tetapi sebaliknya mereka lebih kepada penggunaan akal dan bukti berdasarkan pengalaman hidup mereka dan akhirnya membentuk suatu hipotesis yang baru. Walaubagaimanapun, terdapat segelintir ahli falsafah Greek yang percaya bahawasanya tidak semua persoalan yang berbangkit akan menemukan jawapan yang tepat, akan tetapi bagi mereka mencari sesuatu hikmah adalah sangat penting. Salah satu contoh ahli falsafah yang yakin akan kepentingan falsafah ini ialah Socrates, Dia menyatakan bahawa:

            “The unexamined life is not worth living for a human being”. (Arthur Kenyon Rogers:1971)

            Dari sudut pandangan ‘ilmiyyahnya, Islam mempunyai premis yang tersendiri tentang ilmu, kaedah berfikir, matlamat berfikir, dan proses penajaan ilmu untuk mencapai tahap kebahagiaan diri, masyarakat, dan negara keseluruhannya. (Mohd Yusof Othman 1998). Oleh itu, jelaslah bahawa ilmu itu sangat penting dalam kehidupan manusia. Seperti firman Allah s.w.t di dalam Surah Az-Zumar ayat 9:

            “Katakanlah: Adakah sama orang-orang yang berilmu dengan orang-orang          yang    tidak berilmu?”                                                           

2.0       Riwayat hidup Socrates

Socrates berasal dari Athena, Yunani merupakan  anak kepada seorang pengukir dan pemahat patung batu (stone mason) yang bernama Sophroniscus dan ibunya, Phaenarete yang merupakan seorang bidan. Beliau lahir pada 469/470 SM di Deme Alopece, Athena dan akhirnya meninggal pada tahun 399 SM semasa usianya dalam lingkungan 71 tahun akibat dihukum mati dengan dipaksa meminum sejenis racun Hamlock. Socrates telah berkahwin dengan seorang perempuan yang juga berbangsa Athens bernama Xanthippe dan dikurniakan 3 orang cahaya mata yang diberi nama Menexenus, Lamprocles dan Sophroniscus. Beliau mendapat pendidikan awal di Athena. Dari segi penampilan pula,dikatakan Socrates bukanlah seorang yang tampan, sangat zuhud dalam berpakaian, tidak  memakai alas kaki dan mendatangi penduduk-penduduk Athena untuk berdiskusi berkenaan falsafah.
            Pada awalnya, beliau bukanlah seorang ahli falsafah tetapi dengan terjadinya peristiwa muncul suara ghaib yang didengar oleh rakannya dari Oracle Delphi yang menyatakan bahawasanya Socrates adalah orang yang paling bijak dan tiada sesiapa dapat menandinginya. Tetapi, Socrates menafikan suara ghaib tersebut lalu dia membuat keputusan untuk berjumpa dengan orang-orang yang dianggap bijak oleh masyarakat Athena pada ketika itu serta membincangkan berbagai masalah kebijaksanaan. Namun, orang-orang yang dianggap bijak pandai dalam masyarakat Athena tidak dapat menjawab segala persoalan yang dikemukakan oleh Socrates. Akhirnya, beliau mengiyakan suara tersebut bahawa dirinya seorang yang bijak kerana merasakan dirinya tidak bijak, sedangkan mereka yang dianggap bijak pada dasarnya langsung tidak mengetahui apa-apa.
            Disebabkan peristiwa itu, Socrates tidak disenangi oleh golongan aristokrat (bangsawan) yang kebanyakannya daripada golongan yang berpegang pada ajaran Sophisme.Golongan Sophist  ini mula merasa tergugat kerana timbulnya fahaman baru yang dibawa oleh Socrates kononnya telah merosakkan fikiran generasi muda .Tambahan pula, beliau merupakan seorang yang berhati mulia dan amat disenangi oleh masyarakat sekeliling. Oleh kerana rasa sakit hati golongan Sophist terhadap Socrates mereka telah memfitnah dan menghasut golongan aristokrat supaya menjatuhkan hukuman mati kepada Socrates. Akhirnya Socrates meninggal dunia akibat dipaksa meminum racun jenis Hamlock.
            Socrates merupakan salah seorang ahli falsafah yang terkemuka di Yunani. Beliau juga pernah dilantik sebagai mahaguru di Athena untuk mengajarkan ilmu falsafah. Filasafat Socrates mempunyai 2 orang anak murid yang hebat dikenali sebagai Plato dan Xenophone. Selain itu, Socrates merupakan pengasas ilmu akhlak. Semasa hayatnya, beliau tidak pernah meninggalkan karya tulisan melainkan sumber pemikiran beliau yang diceritakan di dalam karya anak muridnya sendiri, Plato.  Terdapat 2 karya Plato yang kebanyakannya berbentuk dialog yang menggambarkan Socrates iaitu The Apology of Socrates dan Phaedrus.(Ahmad Sunawari Long:2008) Dalam karya tersebut, Plato menggunakan nama Socrates sebagai tokoh utama dan hanya menukil nama beliau sebanyak 3 kali di dalam buku beliau.
            Antara sumbangan terbesar Socrates kepada bangsa Yunani ialah keberaniannya seperti yang ditulis di dalam buku ‘Peradilan Socrates’ karya I.F Stone. Hal ini terbukti apabila beliau pernah menyertai peperangan di Athena. Semasa di medan peperangan beliau menjadikan keberanian sebagai keutamaan untuk menghadapi pihak lawan. Selain itu, beliau juga berani mempertahankan kebebasan berfikir dan keagungan kebenaran sehingga  nyawanya sendiri tergadai.(I.F Stone:1988) Hal ini dapat dilihat ketika zamannya telah lahir golongan Sufustai’yyun yang membawa konsep penilaian baik serta buruk itu melalui pancaindera dan akal pemikiran semata-mata.
            Namun, falsafah Socrates amat bertentangan sekali dengan golongan Sufustai’yyun. Lantaran itu, beliau bertindak menentang pendapat golongan tersebut dengan mengemukakan kepakaran berhujah dan berdebat.  Socrates juga merupakan seorang yang amat menyintai ilmu pengetahuan dan kebenaran. Hal ini dapat dibuktikan apabila beliau berusaha mencari kebenaran melalui kaedah-kaedah falsafah. Justeru,beliau telah mekakukan perubahan dan pembaharuan didalam ilmu falsfah khasnya agar ia selari dengan pemikiran yang benar. Oleh kerana falsafah yang dibawa oleh beliau, Socrates dituduh melakukan dua jenayah politik oleh pemerintah Yunani iaitu tidak menghormati tuhan yang sedia disembah oleh bangsa Yunani dengan memperkenalkan tuhan yang baru dan kedua-duanya dituduh merosak pemikiran generasi muda Yunani kerana memperkenalkan teknik pemikiran baru. Kedua, beliau merupakan titik pemisah corak pemikiran Yunani sehingga muncul istilah Pra-Socrates dalam sejarah perkembangan falsafah. Falsafah sebelum beliau adalah falsafah yang hanya memberi fokus kepada persoalan alam dan mencari jawapan terhadap alam semula jadi. Beliau mengubah keadaan ini menjadikan falsafah sebagai ciri penting dalam pendidikan etika dan kehidupan spiritual juga menghunbungkannya dengan sains, matematik dan astronomi.(Ahmad Sunawari Long:2008)

3.0       Falsafah Socrates

Di dalam ilmu mantik yang dibawa oleh Socrates, beliau banyak menggunakan logik akal dan pemikiran yang benar  khusunya ketika memikirkan tentang fenomena alam dan cakerawala. Ajaran bahawa semua kebenaran itu relatif  telah menggoyahkan teori-teori sains yang mapan menggoncangkan keyakinan dalam agama. Hal ini telah menyebabkan berlakunya kebingungan dan kekacauan terhadap keyakinan agama dalam masyarakat. Seterusnya beliau membuat kesimpulan bahawa adanya Pencipta mutlak. Untuk itu,Socrates harus bangkit untuk menyedarkan dan meyakinkan masyarakat Anthena bahawa tidak semua kebenaran yang umum dapat dipegang oleh semua orang kerana sebahagian kebenaran memang relatif. Beliau berusaha menyeru masyarakat supaya mempercayai kewujudan hanya satu tuhan.

            Pemikiran yang dibawa oleh Socrates ini adalah tidak bertentangan sama sekali dengan ajaran Islam. Hal ini kerana dalam Islam semua ilmu dianggap bersumberkan daripada yang satu dan untuk tujuan yang satu, yakni datang dari Allah s.w.t dan bertujuan untuk beribadah kepada-Nya. Konsep kesatuan ilmu ini dikenali sebagai konsep tauhid. Filsafat Socrates dalam mencari kebenaran sama seperti kisah Nabi Ibrahim yang diceritakan di dalam Al-Quran , Surah al-An’aam ayat 76-79 yang berbunyi:
            “Maka, ketika malam telah gelap dan melihat bintang, berkatalah dia: ‘Inilah         tuhanku’. Ketika bintang pun tenggelam, Ibrahim pun berkata: ‘Aku tidak       menyukai sesuatu yang tenggelam’. Ketika melihat bulan terbit, dia pun            berkata: ‘Inilah tuhanku’. Saat diketahui bulan pun terbenam, dia kembali berkata: ‘Sungguh, jika Tuhanku tidak menunjuki aku, tentulah aku menjadi kaum yang sesat’. Demikian pula sewaktu dia melihat matahari terbit, dia pun berkata: ‘Ini tuhanku. Ini lebih besar’. Ketika matahari juga tenggelam, dia            berkata: ‘Wahai kaumku, aku terlepas dari apa yang kamu persekutukan’.     ‘Sesungguhnya aku menghadapkan diriku kepada Tuhan yang menciptakan       langit dan bumi. Aku condong kepada kebenaran, dan bukanlah aku termasuk        orang yang mempersekutukan Allah.’

            Dalil ini menguatkan lagi pemikiran yang dibawa oleh Socrates yang berusaha dalam mencari kebenaran dan menyeru masyarakat supaya mempercayai wujudnya hanya satu tuhan. Hal ini jelas membuktikan bahawa fitrah manusia untuk mencari siapakah yang mencipta bagi setiap kejadian di dunia ini.
            Socrates juga berbicara tentang keadilan. Menurutnya, keadilan adalah melaksanakan apa yang menjadi fungsi/pekerjaan sendiri sebaik-baiknya tanpa mencampuri fungsi atau pekerjaan orang lain (the practice of minding one’s own bisuness). Keadilan akan datang sekiranya melakukannya secara baik bersesuaian dengan kemampuan dan kerjasama dan keserasian sesuatu kelompok. Berdasarkan rumusan Socrates tentang adanya kesejajaran antara cara hidup atau jenis manusia dan jenis masyarakat, beliau membezakan jenis manusia (jiwa manusia dan cara hidup) kepada tiga, iaitu petama, akal budi, kedua, semangat dan yang ketiga, nafsu. Ketiga-tiga jenis itu akan mencapai tahap klimaksnya di bawah kawalan akal budi dan kemudian keadilan dalam masyarakat akan wujud apabila masyarakat melakukan secara baik bersesuaian dengan kemampuan dan dengan arahan dari akal budi.
            Manakala, Socrates membahagikan kategori masyarakat kepada tiga kelas iaitu yang pertama, pedagang yang bekerja mencari mencari wang sebanyak-banyaknya (nafsu). Kedua, prajurit yang bekerja memelihara tata masyarakat (semangat) dan ketiga, filosof yang berfungsi sebagai penguasa (akal budi).
            Falsafah Socrates merupakan falsafah yang amat mudah diaplikasikan oleh masyarakat awam. Hal ini keerana filsafat Socrates berkisar tentang kehidupan kita sehari-hari. Setiap lapisan masyarakat dapat mengaplikasikan filsafat yang dibawa oleh beliau kerana tidak ada istilah sukar yang ditemukan dalam kegiatan berfilsafatnya.
            Sebab utama yang membuktikan bahawa setiap manusia boleh berfilsafat ialah semua orang memiliki kehidupan. Namun, belum tentu kehidupan di dunia ini dapat dijalani dengan baik oleh setiap insan sehingga boleh mencapai makna kebahagiaan. Kehidupan manusia dapat dikategorikan kepada 2 jenis iaitu, yang pertama ialah manusia yang terpaksa menjalani kehidupan dan yang kedua ialah manusia yang terikut-ikut dengan pengaruh persekitaran. Manusia yang duduk dalam kelompok ini tidak dapat mencapai makna kebahagiaan dalam kehidupan mereka. Tujuan falsafah ini adalah untuk melahirkan kesedaran hidup yang baik dari diri setiap insan dan juga orang lain yang berada di sekeliling kita. Setiap apa yang berlaku dalam masyarakat manusia itu juga merupakan tanggungjawab semua. Oleh yang demikian,  perbincangan antara Socrates dan muridnya menekankan tujuan hidup yang baik amat penting bagi sesiapapun. Menurut Aristoteles iaitu salah seorang anak murid Socrates, orang yang tidak  mempunyai kota, sama seperti “kepingan buah dam yang sendirian di papan permainan”.
            Sekeping buah dam yang sendirian tidak dapat berfungsi. Ia hanya bererti bila dihubungkan dengan kepingan yang lain. Metafora ini digunakan untuk menggambarkan  hidup ini menyiratkan bahawa manusia memperoleh pemenuhan diri hanya bila berada di dalam sebuah masyarakat dan akhirnya individu boleh menemukan kehidupan yang baik dengan adanya komunikasi dan pergaulan lain.

 
            Alasan yang kedua pula ialah semua orang memiliki kegelisahan dalam kehidupan. Apa  yang dimaksudkan dengan kegelisahan di sini ialah semua orang memiliki masalah dan ketidakpuasan  dalam kehidupan sehari-hari. Namun rasa ketidakpuasan ini jarang diungkapkan kerana seringkali kita menganggapnya sebagai masalah kejiwaan yang biasa dialami oleh setiap makhluk yang bergelar manusia. Justeru,ianya tidak pernah dipersoalkan dan tidak memikirkan tentangya. Lama-kelamaan ketdakpuasan itu terus   menumpu  dan menghasilkan kesedaran yang palsu dan jadi teramat pemarah tanpa sebab yang jelas. Hal ini adalah kerana rasa ketidakpuasan itu terpendam dalam jiwa tanpa dapat menemukan cara pembebasannya dan cara untuk diekspresikan. Pada saat itulah muncul emosi-emosi yang tidak dapat dikawal dan tidak jelas sebabnya.
            Seterusnya alasan yang ketiga ialah semua orang memliki pertanyaan terhadap dunia kehidupan. Mereka juga memiliki sejumlah gagasan  dan impian tentang bagaimana cara hidup yang bahagia. Metod Socrates ini memerlukan kejujuran terhadap apa yang dialami, dipikirkan dan dilakukan untuk dikemukakan dalam bentuk pertanyaaan-pertanyaan dan rumusan-rumusan sederhana. Metod Socrates ini tidak memerlukan pertanyaan yang sukar atau jawapan yang ilmiah. Namun,jawapan yang baik adalah jawapan yang berasal dari pengalaman dalam kehidupan. Kalau dipandang sepintas lalu, Socrates tidaklah banyak perbezaan  dengan kaum Sophis. Akan tetapi, ada perbezaan yang amat penting antara Socrates dengan kaum Sophis iaitu Socrates memulai filsafatnya dengan bertolak dari pengalaman sehari-hari sedangkan kaum Sophis pula menjawab pertanyaan hanya dengan berdasarkan teori. Ini amat ditentang oleh Socrates.(Mohd Yusof Othman:1998)

4.0       Teori Dialektika

Pemikiran awal kritis sebetulnya sudah dimulai pada zaman Yunani kuno. Ini pertama kali diperkenalkan oleh Socrates dengan metod Socratesnya (Socratic method). Metod ini merupakan suatu cara berfikir di mana untuk memulai suatu perbincangan (diskusi) diawali dengan sebuh pertanyaan. Teori Dialektika merupakan sebuah teori komunikasi yang menyatakan bahawa hidup berhubungan dicirikan oleh ketegangan-ketegangan atau konflik di antara individu. Konflik tersebut terjadi ketika seseorang mencuba memaksakan keinginannya terhadap sesuatu yang lain. Menurut pendapat Socrates ada kebenaran objektif yang tidak bergantung pada sesiapapun. Ini adalah pusat permasalahan yang dihadapi oleh Socrates. Untuk membuktikan adanya kebenaran objektif, Socrates menggunakan metod tertentu. Metod itu bersifat praktikal dan dijalankan melalui percakapan dan perbincangan. Metod ini menganalisis pendapat tentang sesuatu samada benar atau tidak benar.  Misalnya ia bertanya kepada negarawan, hakim, tukang kayu dan lain-lain.(Arthur Kenyon Rogers:1971)
            Menurut Xenophon, iaitu salah seorang anak didik Socrates, ianya mengenai pertanyaan tentang salah dan tidak salah, adil dan tidak adil, berani, pengecut dan lain-lain. Socrates selalu menganggap bahawa jawapan pertama sebagai hipotesis dan dengan jawapan-jawapan yang lebih lanjut dan menarik yang dapat disimpulkan dari jawapan-jawapan lain. Sering kali percakapan dan perbincangan itu berakhir dengan kebingungan. Akan tetapi tidak semua dialog itu menghasilkan definisi yang dianggap berguna. Socrates sering mengajukan persoalan-persoalan yang baru untuk mendapatkan jawapan bagi setiap persoalan. Buktinya ialah beliau berdialog dengan pemuda-pemuda di Athena. Dia sering mengajukan persoalan-persoalan seperti:
             “Jikalau aku ingin memperbaiki kasut, kepada siapa aku harus pergi?”
Terhadap mana-mana pemuda yang tidak pintar, mereka akan menjawab,
             “Seorang tukang kasut, wahai Socrates”.
 Lalu beliau akan meneruskan persoalannya kepada tukang kayu, tukang logam, dan akhirnya akan menanyakan perkataan yang serupa,
            “Siapa yang harus memperbaiki bahtera Negara?”
Metod yang biasa digunakan oleh Socrates ini dikenali sebagai metod Dialektika.(I.F Stone:1988) 

            Dialektika bererti bercakap-cakap dan berdialog. Metod Socrates dinamakan Dialektika kerana  dialog merupakan unsur-unsur utama dan mempunyai peranan penting di dalamnya. Plato, iaitu anak murid kepada menyedari bahawa setiap masalah-masalah sukar yang dihadapi manusia tidak mungkin ada jalan penyelesaian yang sempurna. Oleh sebab itu, karya-karya penulisan beliau banyak terhasil dalam bentuk dialog dan perbualan. Kerumitan masalah kebenaran memerlukan kebebasan yang lebih luas, yang mungkin hanya terdapat di dalam pemikiran dialektika. Menurut Plato, dialektika ini adalah unsur penting yang harus ada dalam pemikiran falsafah.
            Kata Socrates lagi, Namun, bagi kita masyarakat yang sudah biasa menggunakan definisi kemungkinan merasakan definisi itu bukanlah sesuatu yang penting, jadi ia bukanlah satu penemuan yang berharga untuk kita. Akan tetapi bagi Socrates, penemuan definisi pada waktu itu bukanlah kecil maknanya. Penemuan inilah yang akan dihentamkannya kepada relatifisme kaum Sophis. Hal ini adalah kerana orang Sophis beranggapan bahawa semua pengetahuan adalah relative kebenarannya dan tidak ada pengetahuan yang bersifat umum. Dengan definisi itu, Socrates dapat membuktikan kepada orang Sophis bahawa pengetahuan yang umum itu adalah definisi. Jadi orang Sophis tidak semuanya benar. Yang benar ialah sebahagian pengetahuan bersifat umum dan sebahagian bersifat khusus.  Keperluan terhadap Dialektika bermula dengan sikap seseorang yang ingin memahami dirinya dan kemudian melahirkan perasaan betapa perlunya membuat jangkaan awalan (presupposition) terhadap sesuatu idea. Jangkaan ini merupakan sebarang andaian yang bersifat rasional ke atas sebarang pandangan yang didukung.
            Soal jawab yang dilakukan meningkat dan mendalam akan melahirkan fikiran yang kritis. Dalam mencari kebenaran, Socrates menggunakan hobinya, yakni dengan bertanya. Beliau akan bertanya kepada sesiapa, kemudian memahami dengan baik setiap pertanyaan yang beliau ajukan. Kaedah ini dikenali sebagai metod induksi dan definisi. Induksi menjadi dasar definisi. Induksi yang dimaksudkan oleh Socrates ialah dengan membandingkan secara kritis. Material yang dibandingkan adalah hasil daripada pertanyaan-pertanyaan yang telah beliau kumpulkan.

      Menurut Socrates lagi, orang yang berpengetahuan dengan sendirinya mempunyai budi yang baik. Apabila budi adalah tahu, seseorang akan membuat keputusan yang benar, manakala jahatnya orang yang tidak mengetahui kerana salah menilai dan membuat sesuatu keputusan. Namun, jika dilihat pada era globalisasi, ternyata tidak hanya yang tidak tahu itu jahat, bahkan yang tahu itu boleh menjadi lebih jahat daripada yang tidak tahu kerana mereka boleh memanipulasi dan mencari helah daripada apa yang mereka ketahui. Justeru itu, kejahatan dari orang-orang yang berpengetahuan inilah yang lebih bahaya.


5.0       Teori Retorika

Retorika atau dalam bahasa inggerisnya rhetoric berasal dari bahasa Latin rhetorica yang bererti ilmu bicara. Menurut Cleanth Brooks dan Robert Penn Warren,mereka mendefinisikan retorika sebagai The Art of Using Language Effectively atau seni penggunaan bahasa secara efektif. Pengertian tersebut menunjukkan bahawa retorika mempunyai pengertian sempit iaitu mengenai bicara dan pengertian luas iaitu penggunaan bahasa,lisan dan juga tulisan. Oleh sebab itu,ada sesetengah orang yang mengertikan retorika sebagai public speaking atau berpidato di depan khalayak ramai dan banyak juga yang beranggapan bahawa retorika bukan hanya bererti pidato di depan umum,tetapi juga termasuk seni menulis.(filasafus.blogspot.com/2011/retorika)
            Berkaitan dengan sejarah wujudnya retorika,ahli falsafah berpendapat bahawa retorika sudah wujud sejak manusia ada. Akan tetapi,retorika yang lebih khususnya ialah seni dalam berbicara yang sudah dipelajari mulai abad ke-5 S.M ketika kaum Sophis mengembara dari satu tempat ke satu tempat yang lain untuk mengajarkan pengetahuan mengenai politik dan pemerintahan dengan memberi penekanan terutamanya pada kemampuan berpidato. Menurut kaum Sophis,pemerintah haruslah berdasarkan suara majoriti atau demokrasi sehingga perlu adanya usaha memujuk rakyat demi meraih kemenangan dam pemilihan-pemilihan. Maka bermulalah perkembangan dalam seni berpidato yang membenarkan kenyataan diputar belitkan kebenarannya demi mencapai tujuan.
  Retorika menjadi bertambah penting pada negara-negara kota yang mengamalkan oligarki dan demokrasi menjalankan pemerintahan sendiri. Lembaga utama dalam sistem ini adalah majelis,tempat hukum atau undang-undang dibuat,dan pengadilan yang merupakan tempat hukuman dilaksanakan dan dipraktikkan. Warga kota,golongan bangsawan dan rakyat jelata harus belajar berbicara dan berhujah dengan baik supaya dapat melindungi kepentingan mereka di majelis dan di pengadilan. Kecekapan berbicara dan berhujah menjadi aspek penting dalam politik. Situasi itu mendorong terbitnya buku pedoman berpidato yang pertama,sementara latihan berpidato banyak diselenggarakan. Semua ini dirakam dalam sebuah pecahan dari karya Aristotles yang hilang.(I.F Stone:1988)
            Kaum sophis juga berpendapat bahawa manusia adalah ‘makhluk yang berpengetahuan dan berkemahuan’. Manusia mempunyai penilaian sendiri mengenai baik atau buruknya sesuatu perkara dan mempunyai nilai-nilai etikanya yang tersendiri. Oleh kerana itu,kebenaran sesuatu pendapat hanya dapat dicapai apabila seseorang dapat menerangkan pendapatnya terhadap orang lain yang berbeza pendapat dengannya. Jadi,tidak hairanlah sekiranya masyarakat Yunani melatih diri mereka untuk memperoleh kemahiran dalam berbicara sehingga inti pembicaraan berubah dari tujuan untuk mencari kebenaran kepada mencari kemenangan.
            Tokoh aliran sophisme ini ialah Georgias (480-370 S.M) yang dianggap sebagai guru retorika yang pertama dalam sejarah manusia. Filsafat mazhab sophisme ini dicerminkan oleh Georgias yang menyatakan kebenaran sesuatu pendapat hanya dapat dibuktikan jika mencapai kemenangan dalam pembicaraan. Walaubagaimanapun,Phytogoras (500-432 S.M) dan Socrates (469-399 S.M) berbeza pendapat dengan apa yang dikatakan oleh Georgias. Phytogoras berpendapat bahawa kemahiran berbicara bukan sahaja demi kewangan melainkan demi keindahan bahasa. Sedangkan bagi Socrates pula retorika adalah cara untuk mencari kebenaran dengan menggunakan teknik berdialog kerana dengan berdialog kebenaran akan timbul dengan sendirinya. Ini dapat dibuktikan dalam Gorgian,dialog Plato yang paling kelewat batas,Socrates begitu memandang hina retorika yang dipraktikkan di Athen sehingga tiada seorang pun dari muridnya yang mahu memanfaatkannya. Socrates juga mengatakan kepada Gorgian yang merupakan salah seorang guru pidato termahsyur di zamannya bahawa retorika bukanlah pencarian seni,melainkan pertunjukan dari golongan bangsawan. Socrates juga mnyimpulkan para pemidato “seperti para penyair” yang memuaskan rakyat,namun mengorbankan nasib orang kebanyakan demi kepentingan diri sendiri. Seandainya ia berasal dari tokoh yang kurang dihormati,maka pidato tersebut tentu akan dicap sebagai hasutan antidemokrasi. Apa yang dimaksudkan di sini ialah,Socrates tidak bersetuju dan tidak gemar menyelesaikan sesuatu masalah dan perkara dengan bepidato,tetapi beliau lebih suka menggunakan teknik berdialog antara satu sama lain.(I.F Stone:1988)


6.0       Penutup

Kesimpulannya, teori Dialektika dan Retorika yang diperkenalkan oleh Socrates telah memberi sumbangan yang besar kepada masyarakat Yunani khasnya. Hal ini kerana pemikiran dan falsafah yang di bawa oleh Socrates ini telah mengubah cara hidup dan cara berfikir masyarakat Yunani yang ketika itu hanya mengambil secara bulat-bulat ilmu yang disampaikan oleh golongan Sufusta’iyyun yang sebenarnya banyak melakukan penyelewengan dengan cara menggunakan bahasa yang mengelirukan untuk memesongkan fikiran masyarakat. Teori Dialektika misalnya, telah mengajar masyarakat Yunani untuk berfikir dan berusaha mencari kebenaran dengan cara berdiskusi atau perbincangan yang diawali dengan sebuah pertanyaan. Falsafah ini secara tidak lansung telah membuka minda masyarakat Athena mengenai siapakah pencipta yang sebenar bagi alam ini. Ianya juga telah mengajar dan mengubah cara pemikiran pemuda-pemuda Athena mengenai makna kehidupan yang sebenar-benarnya. Cara berfilsafat inilah yang menyebabkan timbulnya perasaan hasad dengki dalam kalangan Sufusta’iyyun terhadap Socrates kerana jelas sekali fahaman yang dibawa oleh beliau amat bertentangan sekali dengan golongan Sufusta’iyyun. Maka golongan sophist  ini telah bertindak menghasut golongan aristokrat supaya menjatuhkan hukuman kepada Socrates atas tuduhan bahawa Socrates telah meracuni pemikiran pemuda-pemuda Athena. Walaupun begitu, kematian Socrates tidak menghalang cara filsafatnya dari terus berkembang. Cara pemikiran beliau ini telah dikembangkan dalam beberapa karya anak muridnya dan antara yang terkenal ialah Plato dan Aristotle. Sehingga kini, masyarakat manusia masih mengamalkan beberapa cara pemikiran mengenai kehidupan sehari-hari sama ada secara sedar atau tidak.































Rujukan

Arthur Kenyon Rogers. 1971. The Socratic Problem. Printed in the United States of America.

Ab. Latif Muda & Dr. Rosmawati Ali @ Mat Zin. 2009 . Pengantar Ilmu Mantik. Pustaka Salam Sdn.Bhd.

Ahmad Sunawari Long. 2008. Sejarah Falsafah edisi kedua. Percetakan Watan SDN.BHD. 26, Jalan Daud, Kampung Bharu 50300 Kuala Lumpur, MALAYSIA.

Donald C. ABEL. Fifty Reading in Philosophy. St. Norbert College.

Filasafus.blogspot.com/2011/05/retorika-sebagai-seni.

Hugh Tredennick. 1969.  From Plato “The Last Days of Socrates”. Great, Britain.

http://id.wikipedia.org/wiki/socrates

Leonard Nelson. 1949. Socratic Method and Critical Philosophy. New York Dover Publications, INC.

Mohd Yusof Othman. 1998. Isu-isu Dalam Ilmu dan Pemikiran.

Prof Dr.Teungku Muhammad Hasbi ash Shiddieqy. 2011.  Tafsir an-Nur  Al-Quranul Majid (Jilid 2). Terbitan Cakerawala Publishing

Samuel Enoch. 1988. A History of Philosophy. Printed in the United States of America.

Victor Ehrenburg. 1973. From Solon to Socrates “Greek History and Civilization during the sixth and fifth centuries. Printed in Great, Britain by Richard Clay (The Choucher Press) Ltd, Bungay, Suffolk.






.






No comments:

Post a Comment